PEMBAHARUAN DI KAUSAR KREATIF

Sila berkunjung ke Laman Baru Kausar Kreatif yang telah diintegrasi. KLIK DI SINI

Friday, May 22, 2009

Bagaimana menulis iklan produk atau servis anda

Berapa kali anda telah menulis iklan dan bagaimana respons yang telah anda terima? Jika anda telah dapat menemui pembeli dalam masa sehari, situasi anda mungkin termasuk dalam salah satu kategori berikut:
- produk/servis/perkara yang anda iklankan itu benar-benar menarik atau sedang hangat di pasaran, atau
- lokasi iklan anda benar-benar strategik, atau
- anda sememangnya seorang yang mahir menulis iklan yang menarik minat pembeli

Jika tidak, mari kita lihat beberapa teknik menulis iklan supaya “meliurkan” orang yang membacanya.

Teknik yang dipanggil "AIDA" ini dibahagi kepada empat bahagian penting:
1. Attention (Perhatian)
Berhentikan seseorang dari apa yang sedang dikerjakan untuk membaca atau melihat iklan anda.
2. Interest (minat)
Jadikan dia berminat untuk terus membaca iklan tersebut
3. Desire (Keinginan)
Bangkitkan keinginannya untuk memiliki apa yang iklankan
4. Action (Tindakan)
Pandu dia untuk mengambil tindakan spontan sekarang juga sebelum keinginan yang dibangkitkan tadi pudar dan hilang


Apakah langkah-langkah yang perlu anda ambil:

1. Kenal pasti siapakah pembaca anda dan cara apa dia akan bertemu dengan iklan anda
Anda perlu memilih lokasi yang sesuai untuk mendapatkan ramai yang berminat dengan iklan anda dan penggunaan perkataannya perlu sesuai dengan pembaca yang anda inginkan. Adakah produk/servis anda untuk para remaja lepasan sekolah (contohnya, iklan pekerjaan sambilan), atau mereka yang menghadapi masalah jerawat dll. Lokasi yang anda pilih untuk menyampaikan mesej anda juga perlu. Contohnya jika ianya untuk remaja mungkin anda boleh letakkan iklan atau flyer anda di cybercafe atau kompleks beli-belah. Jika ianya produk jerawat, mungkin anda boleh letak iklan di laman web yang membincangkan masalah yang dihadapi oleh mereka yang berjerawat. Ini memerlukan kreativiti dan ilham spontan anda untuk menjadikan kempen anda berjaya


2. Kenal pasti apakah objektif anda menulis iklan tersebut.
Adakah anda mahu prospek (bakal pelanggan) anda untuk klik iklan anda, atau memberikan maklumat melalui autoresponder, atau membuat panggilan telefon kepada nombor yang anda berikan.

3. Pilih tajuk iklan yang bersesuaian.
Anda perlu bayangkan apa yang perlu untuk membuat prospek anda berhenti dari apa yang sedang dibuatnya untuk memberi masa membaca iklan anda. Ianya perlu ringkas tetapi tepat mengena sasaran prospek anda. Anda boleh gunakan kata-kata yang besar impaknya, tetapi pastikan ianya kena dengan isi iklan anda dan bukan satu penipuan atau janji palsu. Contohnya jika anda menjual ubat jerawat yang sememangnya berkesan menghapuskan jerawat dalam masa 3 hari, and boleh tulis iklan contohnya “JERAWAT HILANG DALAM MASA 3 HARI”, atau apa-apa yang anda rasa boleh menarik perhatian dan belum lagi dapat dicapai dengan produk semasa yang lain.

4. Gunakan bahasa yang ringkas, padat, mudah difaham dan menarik perhatian
Setelah berjaya menarik perhatian prospek anda, sekarang anda telah ada peluang untuk memperkenalkan produk anda dengan matlamat menarik minatnya untuk membaca lebih lanjut. Anda perlu lakukan ini dengan kata-kata yang ringkas dan padat tetapi dapat menyampaikan mesej anda. Anda perlu rasakan pembaca anda ada masa yang singkat untuk membaca iklan anda, tetapi faham kepentingan produk itu untuk dirinya.

Anda boleh senaraikan kelebihan produk anda, dalam bentuk senang difaham dan menangkap tumpuan pembaca. Gunakan perkataan, ayat dan perenggan yang pendek dan tidak berbunga-bunga tetapi jelas tentang produk anda.

5. Timbulkan rasa "saya perlu beli" dalam diri prospek anda
Setelah anda menerangkan kelebihan produk/servis anda, anda perlu membangkitkan keiniginan dalam diri pembaca untuk membeli produk anda. Ini adalah kemuncak kepada matlamat iklan anda. Sekiranya seseorang tahu kelebihan sesuatu produk, tetapi tidak dapat mengaplikasikan kepada dirinya, maka besar kemungkinan dia tidak akan membeli produk itu.
Oleh itu, anda perlu letakkan diri anda sebagai pembeli dan ketahui masalah-masalah yang akan dapat diselesaikan dengan produk itu. Anda perlu manipulasikan masalah-masalah itu untuk menimbulkan persoalan bahawa ianya adalah masalah yang boleh menjadi serius. Berbalik kepada produk jerawat tadi, mungkin prospek anda merasa jerawat bukanlah masalah serius dan rasa selesa dengannya, anda boleh buat kajian tentang kes-kes di mana jerawat menjadi masalah kulit serius jika tidak dicegah dari awal. Jika ada gambar visual lagi bagus, kerana ini akan memberi impak kepada prospek anda bahawa masalah itu ada kena-mengena dengan dirinya dan akan berkeinginan untuk memilik produk anda.
Penyampaian anda yang bersemangat dan penuh minat juga boleh menarik perhatian pembaca anda dengan aura penulisan anda yang tersendiri, bukan sekadar memberikan poin-poin. Berikan fakta yang lebih meyakinkan. Contohnya jika anda menjual produk penjumatan minyak kereta, kenapa perlu tulis “menjimatkan minyak anda” jika anda boleh dapat impak yang lebih dengan menulis “penjimatan minyak sebanyak 50%”, tetapi pastikan fakta itu benar dan bukan janji palsu. Anda boleh menipu seseorang sekali, tetapi selepas itu anda akan melihat kesan kepada penjualan anda di masa hadapan kerana “pisang tidak akan berbuah dua kali”.

6. Dapatkan tindakbalasnya dengan segera!
Anda telah tiba di kemuncak apabila prospek anda bersemangat untuk mendapatkan produk anda. Dapatkan tindakbalasnya pada masa itu juga sebelum dia hilang minat dan menukar fikiran. Jangan hanya berikan link ke laman web anda, sebaliknya suruh dia klik ke laman web anda sekarang juga. Fikirkan cara supaya dia mudah bertindak pada masa itu juga tanpa perlu banyak proses yang perlu dilalui.
Memberi promosi untuk masa terhad juga adalah satu cara bagus untuk mendapatkan tindakbalas segera. Contohnya, jika tawaran diskaun 50%, berikan tempoh untuk hari ini atau selagi stok masih ada. Tetapi pastikan anda perlu hentikan tawaran tersebut apabila tamat tempoh seperti yang anda janjikan. Sekiranya anda beritahu tawaran untuk hari ini, tetapi harga masih seperti itu esok atau minggu depan, ia akan “memecahkan tembelang” anda.


Teknik “AIDA” ini adalah sebagai panduan sahaja, kerana adalah bukan perkara mudah untuk mengetahui kehendak pelanggan anda. Kerana itu ada syarikat yang sanggup membelanjakan wang yang banyak semata-mata untuk mengetahui citarasa dan kehendak bakal pelanggan mereka. Satu lagi tip yang bagus untuk anda adalah untuk membuat pelbagai versi untuk iklan anda dan melihat yang mana mendapat respons yang baik. Ini boleh dijadikan panduan untuk iklan-iklan anda di masa hadapan. Selamat Berjaya dengan kempen iklan anda.

Wednesday, May 20, 2009

11 Cara memasarkan produk atau perkhidmatan anda secara online

1. Menulis artikel yang anda hantarkan ke Squidoo, Hubpage, Ezine dan pelbagai Article Directories dan meletakkan maklumat perniagaan anda termasuk URL link di dalam bio box penulis. Syarat-syarat untuk menghantar artikel anda adalah agak ketat untuk memastikan mutu artikel tersebut termasuk penguasaan bahasa (inggeris) yang digunakan. Tetapi jika anda persisten dan mencuba berkali-kali, artikel anda mungkin akan disiarkan

2. Menggunakan perkhidmatan iklan pay-per-click(PPC) seperti Google Adword dan Yahoo Search Marketing. Untuk menggunakan perkhidmatan ini, anda perlu memilih kata-kunci (keyword) yang sesuai digunakan untuk promosi anda. Iklan anda akan diletak dimerata tempat yang melibatkan kata-kunci yang anda pilih. Kos dikenakan menurut jumlah klik oleh pengunjung yang dibuat untuk iklan anda. Jika bajet anda lebih, anda boleh mendapat lebih banyak pilihan termasuk kedudukan iklan anda dalam sesebuah laman web atau kekerapan iklan anda disiarkan.

3. Mengoptimumkan laman web anda untuk mendapat ranking yang baik dalam Google, Yahoo atau MSN. Ada banyak faktor untuk menentukan kedudukan (ranking) sesebuah laman web, termasuk:
- pemilihan kata kunci utama yang anda letakkan sebagai tajuk
- pemilihan perkataan untuk meta tag
- pengulangan kata kunci di dalam isi kandungan laman web anda
- berapa banyak laman web anda dihubungkan ke laman web yang lain
- pemilihan nama untuk nama domain anda(www.".....".com)

4. Membina e-mail list dengan menarik pengunjung untuk sign in ke dalam senarai pengunjung laman web anda (opt-in). Kemudian menggunakan khidmat autoresponder anda menghantar email kepada senarai e-mail yang ada untuk mempromosi produk anda. Antara cara menarik pengunjung untuk sign-in adalah dengan menawarkan barangan digital percuma (freebies) atau menyediakan perkhidmatan percuma seperti akses kepada laman web yang menyediakan program atau perisian untuk laman web (web tools) dan banyak lagi.

5. Menggunakan social media untuk mempromosi kepada rakan-rakan anda di Facebook, Myspace, dan Forum

6. Menggunakan Classified ads ataupun iklan percuma yang dikategori mengikut jenis iklan

7. Menggunakan khidmat traffic generator seperti Adland Pro, Traffic Swarm, Easy Hits 4 U dan Heart Traffic, yang mana pengunjung dari pelbagai lokasi dari seluruh dunia akan dihantar untuk mengunjung laman web anda. Kebanyakannya hanya menerima laman web di dalam bahasa inggeris.

8. Menggunakan signature tag dalam e-mail atau forum posting anda. Dengan cara ini anda perlu kreatif untuk memilih perkataan yang sesuai untuk menarik minat mereka yang melihat "iklan" anda untuk mengunjung ke laman web anda

9. Mengadakan joint venture bersama pemilik laman web lain untuk berkongsi senarai e-mail pelanggan masing-masing

10. Bertukar-tukar URL link dengan pemilik laman web atau blog lain untuk diletakkan di laman masing-masing. Ini adalah cara yang paling biasa digunakan dan biasanya ia adalah percuma, melainkan jika sesebuah laman web itu begitu popular hingga memiliki beribu pengunjung setiap hari.

11. Menggunakan Youtube video untuk memperkenalkan produk atau perkhidmatan anda, atau sekadar meletakkan URL link anda di dalam clip video tersebut. Anda perlu memiliki asas mengedit video kerana anda perlu tahu bagaimana memasukkan iklan anda di dalam video tersebut sama ada sebagai teks bergerak dibawah kip video tersebut, atau sebagai teks di awal atau akhir video tersebut. Jika video anda itu dilihat oleh beribu orang di seluruh dunia, itu adalah promosi yang sangat baik untuk anda.

7 Cara menjana pendapatan di internet

1. Laman blog atau laman web

Dengan cara ini anda perlu memiliki sebuah laman blog atau laman web yang aktif dan ramai pengunjung. Anda boleh menjana pendapatan dengan meletakkan iklan di laman web anda


2. Menjual produk affiliate

Anda boleh menjual sesuatu produk bagi pihak orang lain dan mendapat komisyen dengan setiap jualan. Setiap "affiliate" atau ejen jualan mempunyai sebuah link ID yang unik yang akan menentukan jumlah komisyen bagi setiap pembelian yang dibuat oleh online.


3. Menjual produk atau perkhidmatan anda

Melalui cara ini anda perlu ada produk atau perkhidmatan yang boleh ditawarkan. Antaranya adalah:

- menjual produk yang anda jual secara offline seperti produk kesihatan, minuman, pakaian, buku dll

- menjual produk digital seperti ebook dalam bentuk pdf

- program dalam bentuk video atau audio

- perisian yang memenuhi kehendak sesebuah pasaran kecil dan menyelesaikan masalah yang belum dapat diselesaikan dalam internet

- perkhidmatan membuat laman web

- perkhidmatan membuat iklan dinamik (ada pergerakan) dalam bentuk flash atau gif

- perkhidmatan mereka grafik untuk iklan sesebuah produk atau perkhidmatan

- perkhidmatan mengalih-bahasa sesebuah dokumen, dan lain-lain lagi


4. Membeli dan menjual semula domain yang dibangunkan (site flipping)

Anda perlu mencari idea untuk sebuah laman web yang mana pengunjung sanggup membayar yuran langganan bulanan untuk mendapatkan maklumat dari laman web tersebut


5. Mengisi borang survey (eg. Globaltestmarket)

Ada pelbagai laman web yang memerlukan anda untuk menjawab soalan berkaitan kajian pasaran sesebuah produk atau kajian umum. Anda mungkin dibayar mengikut kutipan markah yang akan ditukar kepada wang, atau mungkin dibayar terus secara online melalui akaun paypal anda, atau mungkin melalui cek yang akan dihantar ke alamat anda. Sesetengah syarikat ini hanya menerima mereka yang beralamat di Amerika, jadi anda perlu periksa terlebih dahulu sebelum menyertainya.


6. Menjual maklumat yang anda bukukan dalam bentuk pdf

Jika anda rajin menulis dan memiliki pengetahuan yang meluas dalam sesuatu bidang yang mana ramai orang ingin memiliki maklumat tersebut, anda boleh bukukan menjadi sebuah dokumen yang dibukukan dalam bentuk pdf. Pdf adalah sejenis fail digital yang memerlukan perisian seperti Adobe Acrobat, dan menjadi medium yang popular di barat untuk mengedarkan bahan bacaan digital. Jika anda kurang yakin dengan penguasaan bahasa anda, anda boleh menggunakan khidmat alihbahasa atau memeriksa penggunaan bahasa anda di internet.


7. Menghoskan forum dalam sesuatu bidang dan meletakkan iklan adsense

Adsense adalah iklan yang diedarkan oleh sesetengah syarikat yang akan membayar pemilik laman blog atau web mengikut tindak-balas para pengunjung laman tersebut. Contohnya ia memerlukan pengunjung untuk mengisi maklumat dalan sebuah borang, atau memberikan e-mail mereka, dan bagi setiap tindak-balas yang lengkap, pemilik laman web tersebut akan dibayar dengan jumlah yang tertentu. Anda perlu baca syrat-syarat sebelum meletakkan iklan tersebut, kerana jika anda melanggar syarat-syarat yang diberikan, akaun anda akan digantung dan tidak mendapat bayaran seperti yang dijanjikan.

ADVERTISEMENT