PEMBAHARUAN DI KAUSAR KREATIF

Sila berkunjung ke Laman Baru Kausar Kreatif yang telah diintegrasi. KLIK DI SINI

Thursday, October 1, 2009

Keusahawanan - Adakah Anda Bersedia Untuknya?



Ramai di antara kita mempunyai matlamat dan impian untuk menjadi usahawan yang berjaya. Namun begitu minat atau semangat semata-mata adalah tidak cukup, kerana terdapat beberapa faktor untuk berjaya dengan cemerlang di dalam kerjaya atau bidang ini .

Beberapa perkara yang perlu diambil kira adalah:

1. Kemahiran
Sama ada dalam bentuk formal atau tidak formal, kemahiran perlu untuk menjamin kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi, di samping naluri yang kuat, minat dan semangat. Pendidikan dalam bentuk tidak formal boleh didapati melalui pembacaan majalah atau buku yang berkaitan, membuat carian melalui sumber di internet, bertanya kepada mereka yang pernah dan berjaya dalam bidang tersebut. Pendidikan formal boleh didapati melalui kursus-kursus yang dianjurkan oleh kerajaan atau pihak swasta. Antaranya adalah kursus anjuran MARA, Tekun, Jabatan Pertanian, Kementerian Belia dan Sukan dan lain-lain.

2. Jati Diri
Sesuatu yang kita pelajari secara formal atau tidak formal, tidak semestinya sama dengan apa yang kita alami di dalam dunia keusahawanan yang sebenar. Faktor-faktor perubahan ekonomi (mikro dan makro) juga perlu diambil kira bagi menyesuaikan dengan keadaan perniagaan yang kita jalankan. Oleh itu, sikap mudah menerima sebarang perubahan dan menyesuaikan diri mengikut kehendak perniagaan kita adalah juga perlu. Dalam menghadapi sebarang masalah dan perubahan arus dalam dunia perniagaan kita, sifat cekal dan tidak mudah putus asa adalah amat perlu, di samping sentiasa bersedia untuk mempelajari sesuatu yang baru untuk berjaya.

3. Berdaya saing
Perniagaan anda perlukan sesuatu yang berlainan untuk bersaing dengan perniagaan-perniagaan lain di dalam bidang yang sama. Ini sering dipanggil "X factor", iaitu sesuatu kelainan pada perniagaan anda dan menjadi tarikan kepada para pelanggan.

Beberapa perkara yang perlu anda beri perhatian adalah:

a) Fahami kaedah pemasaran terbaru untuk mencapai matlamat penjualan atau keuntungan anda.

b) Pilih kaedah pengiklanan yang terkini dan sesuai untuk menyampaikan maklumat tentang perniagaan anda kepada prospek atau bakal pelanggan anda secara meluas.

c) Sentiasa peka kepada peluang baru dan ruang untuk melibatkan perniagaan anda dalam memenuhi keperluan yang ada di pasaran.

d) Mengkaji "niche market" iaitu pasaran untuk sesuatu bidang yang dikhususkan dengan lebih terperinci berkaitan dengan sesuatu produk atau perkhidmatan. Dengan mengenal pasti sesuatu bidang khusus yang mempunyai permintaan yang banyak dengan saingan yang terhad, anda mempunyai kuasa yang lebih untuk mengawal harga dan jumlah jualan anda.

Untuk menentukan pasaran sasaran anda (target market), anda perlu menggunakan kreativiti anda dalam membuat keputusan berkaitan dengan:
- lokasi untuk mengedarkan produk atau memberi perkhidmatan anda
- harga
- kriteria barang atau perkhidmatan anda
- teknik pemasaran


4. Pengurusan
Keputusan yang tepat dan berkesan amat penting bagi setiap usahawan, terutamanya setelah anda melaburkan sumber kewangan dan tenaga yang banyak. Keputusan yang salah dan kurang bijak boleh mengakibatkan kepincangan perniagaan anda. Oleh itu perjalanan syarikat perlu didokumentasikan sebagai data pengurusan dalam membantu proses membuat keputusan di masa hadapan.

Seorang usahawan perlu mengamalkan sikap berfikiran di luar kotak pemikiran biasa (thinking out of the box) dengan cuba melihat sesuatu masalah atau cabaran dari sudut dan perspektif yang berbeza untuk mendapatkan penyelesaian yang bijak dan berkesan.

Risiko tidak dapat dielakkan di dalam perniagaan, tetapi tahap risiko boleh dikurangkan dengan membuat analisa menggunakan maklumat dari sumber yang tepat dan boleh dipercayai, sebelum sesuatu keputusan itu boleh dicapai.

5. Motivasi
Bagi sesetengah perniagaan yang memerlukan masa untuk sampai ke tahap yang diingini, motivasi amat perlu untuk mengekalkan semangat dan sikap positif seseorang usahawan.

Kesinambungan permintaan amat perlu bagi menjamin masa depan perniagaan. Ini boleh dicapai melalui jaringan atau rangkaian perniagaan seperti Gabungan atau Persatuan Peniaga dalam bidang yang anda ceburi. Dengan penyatuan seperti ini, sesebuah perniagaan itu mampu untuk bergerak ke tahap yang lebih cemerlang.

Berdasarkan artikel di dalam Utusan Malaysia tulisan Syed Azam Jamalullil
.

Menguji Tahap Keusahawanan Anda


Ujian yang berikut adalah untuk menentukan secara umum sama ada anda bersedia secara fizikal atau mental untuk memulakan perniagaan anda sendiri.


Ciri-ciri utama seorang usahawan:

1. Adakah anda seorang yang gigih dan tabah?

2. Adakah anda seorang sanggup bekerja keras?

3. Adakan anda mudah mempengaruhi orang lain?

4. Adakah anda memotivasi diri anda sendiri?

5. Adakah anda sanggup menerima kritikan?

6. Adakah anda seorang yang teratur?

7. Adakah anda seorang yang boleh dipercayai?

8. Adakan anda seorang yang pandai membangkitkan semangat orang lain?

9. Adakah anda berkemahiran dalam bidang yang anda ingin ceburi?

10. Adakah anda seorang yang mudah belajar?

11. Adakah anda memiliki sikap yang profesional?

12. Adakah anda seorang yang sabar dengan mereka yang ada di sekeliling anda?

13. Adakah kesihatan anda baik?


Sikap dalam bekerja:

14. Ada anda mudah mengalah?

15. Adakah anda akan bekerja keras jika sesuatu itu memberi menfaat kepada anda?

16. Adakah anda tidak suka bekerja?


Hubungan dengan orang lain:

17. Adakah anda mudah terganggu dengan orang lain?

18. Adakah anda mudah bersahabat dengan orang lain?

19. Adakah anda mudah bertolak ansur dengan orang lain?

20. Adakah anda mudah memperdaya orang lain dengan tanggapan bahawa anda suka dengan mereka?


Sifat Kepimpinan

21. Adakah orang lain mudah untuk menolong anda?

22. Adakah anda bekerjasama dengan orang lain untuk menyelesaikan sesuatu tugas?

23. Adakah anda lakuan sesuatu dengan inisiatif anda sendiri tanpa perlu diberitahu oleh orang lain?

Pendirian

24. Adakah anda menyelesaikan apa yang anda mulakan?

25. Adakah anda mudah mengalih perhatian anda dengan sesuatu gangguan?

26. Adakah anda mudah bosan jika sesuatu tidak itu tidak mengikut kehendak anda?


Sifat Boleh Dipercayai

27. Adakah anda menunaikan segala janji anda?

28. Adakah anda berjanji hanya jika anda sanggup melakukannya?


Membuat keputusan

29. Adakah anda membiarkan orang lain membuat keputusan untuk anda?

30. Adakah anda mudah membuat keputusan yang segera?

31. Adakah anda mudah mengubah keputusan anda?

32. Adakah anda hanya akan membuat keputusan setelah mendengar pendapat semua orang?

33. Adakah anda tidak suka mendengar nasihat orang lain?

34. Adakah anda berpendapat keputusan yang salah itu lebih baih dari tidak membuat keputusan langsung.


Soalan-soalan di atas adalah sekadar untuk mengenal pasti kelebihan dan kekurangan anda sebagai seorang usahawan. Dengan mengenal pasti kelebihan dan kekurangan anda, anda boleh memilih bidang yang lebih sesuai dengan anda. Sebagai contoh, adalah tidak bijak untuk seseorang yang mudah cemas dan mudah tertekan untuk menceburi bidang pasaran saham.


Sumber: Work For Yourself oleh Brian Isaacs

ADVERTISEMENT